Bidang Multimedia & Reka Bentuk Grafik

Apa itu Multimedia & Reka Bentuk Grafik

Perkataan Multimedia terdiri daripada perkataan bahasa Inggeris iaitu Multi bermaksud berbilang dan perkataan media iaitu perantara komunikasi (perhubungan). Multimedia membawa makna kepada satu kaedah perkomputeran yang bertujuan menyampaikan maklumat dalam pelbagai bentuk kombinasi seperti tekstual, audio, visual, grafik dan animasi. Penggunaan multimedia kebanyakkannya dapat dilihat dalam bidang berkaitan komunikasi dan maklumat seperti perfileman, stesen radio & televisen, permainan video dan pencetakan.

Lazimnya ilmu reka bentuk grafik sering dikaitkan dengan bidang multimedia ini. Kebanyakkan multimedia mementingkan reka bentuk grafik lebih-lebih lagi dalam dunia hiburan dan pengiklanan. Kerjaya yang sering didengari dalam bidang ini adalah pereka bentuk grafik. Kerjaya ini merujuk kepada individu yang bertanggungjawab menyediakan aturan laman web atau dalam pencetakan secara kreatif bagi menyampaikan maklumat. Selain itu, pereka bentuk grafik ditugaskan juga untuk mereka konsep visual sama ada menggunakan tangan atau komputer bagi berbagai tujuan komunikasi contohnya pengiklanan, brosur, majalah dan laporan.

Selain menjadi seorang pereka grafik, individu yang berkecimpung dalam bidang multimedia dan reka bentu grafik ini berpeluang juga menjawat jawatan seperti pengarah kreatif, pereka komersial, pengurus pemasaran, pereka animasi, pembangun aplikasi dan pereka laman web.

Bidang multimedia dan reka bentuk grafik kini semakin mendapat perhatian apabila teknologi perkomputeran dan komunikasi sudah semakin maju. Kini sebarang komunikasi yang berlaku adalah bergantung kepada kedua-dua bidang ini. Bukan industri seni kreatif sahaja yang meningkatkan permintaan pekerja bidang ini, malah setiap organisasi yang terbentuk sering memerlukan individu yang berkemahiran dalam bidang ini bagi membantu meningkatkan pertumbuhan organisasi mereka.

Sehubungan itu, pelajar yang berminat untuk menceburi bidang ini tidak perlu gusar kerana peluang perkerjaan akan meningkat seiring dengan kemajuan teknologi canggih kini. Walaubagaimana pun, mereka perlu mempunyai beberapa kualiti dalam diri mereka seperti mempunyai objektif yang jelas dan berkeyakinan tinggi agar majikan atau client dapat lihat nilai tersendiri yang menarik perhatian mereka. Selain itu, seperti bidang-bidang lain, pelajar perlu mempunyai minat yang mendalam dalam bidang ini kerana menghasilkan idea-idea kreatif ini memerlukan imaginasi yang tinggi dan akan menjadi satu bebanan kepada minda jika idea dikeluarkan secara paksaan. Perkara ini juga mungkin akan mengakibatkan nilai hasil kerja menurun. Walaupun kemahiran kreatif adalah sesuatu yang bonus tetapi setiap kemahiran sebenarnya mampu diasah jika minat ditanamkan dalam diri.

Bersangkutan itu, individu yang berminat untuk menjadi pereka grafik perlu sekurang-kurangnya memperolehi ijazah sarjana muda rekabentuk grafik atau seni kreatif yang berkaitan. Bagi mengejar kerjaya bidang ini, para pelajar dari sekolah menengah sebenarnya sudah boleh mula berjinak-jinak dengan pembelajaran seni, rekabentuk dan perkomputeran. Dengan ini, aluran pembelajaaran ke kerjaya ini akan lebih mudah dilihat. Tambahan pula, kerjaya ini akan mementingkan portfolio pelajar sebagai bukti kebolehan individu dalam bidang ini. Maka, adalah penting bagi pelajar untuk membina portfolio mereka dari awal bagi meningkatkan peluang untuk diterima bekerja dengan gaji yang setimpal.

Translate ยป
Scroll to Top