Dilema Pelajar – Sambung Belajar atau Bekerja
Sepanjang negara melalui fasa pandemik, ramai golongan yang mengalami kesukaran akibat ekonomi yang merosot secara mendadak. Para Pelajar juga tidak terkecuali mendapat tempiasnya, tidak kira pelajar sekolah rendah, menengah atau universiti. Namun, hal ini telah memberi impak yang besar kepada motivasi pelajar universiti untuk meneruskan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi. Di fasa ini juga, majoriti pusat pengajian sudah menukar sistem pembelajaran jarak jauh dengan bantuan teknologi komunikasi dalam maya. Walaupun, sistem ini dapat membantu pelajar untuk terus menjalankan pembelajaran tetapi terdapat kesan sampingan yang mereka perlu hadapi. Hal ini meletakkan dilemma kepada pelajar sama ada ingin sambung belajar atau bekerja sahaja.
Perolehi Pendapatan di Usia Muda
Setelah negara melangkah ke fasa endemik, pelajar dibenarkan pulang ke universiti secara bersayarat dan berperingkat. Namun, dilemma yang dilalui pelajar akan terus menghantui mereka. Hakikatnya kedua-dua pilihan sebenarnya terdapat kelebihan dan kekurangannya. Jika mereka memlih untuk bekerja, mereka akan mempunyai pendapatan dari usia yang muda. Dengan ini, mereka dapat menabung dan merancang pembelanjaan diri untuk masa akan datang dengan lebih awal. Selain itu, persekitaran di tempat kerja adalah berbeza dengan di unversiti. Jika di tempat kerja mereka akan dikelilingi kenalan dari pelbagai peringkat umur dan mempunyai minat dan pemikiran yang berbeza-beza. Perkara ini dapat membantu mereka dalam meningkatkan kemahiran bersosial dan pada masa yang sama mendedahkan mereka tentang kehidupan dunia luar.
Tambahan pula, mereka turut memperolehi lebih pengalaman dalam industri daripada pelajar yang meneruskan pengajian. Hal ini memudahkan mereka untuk memohon posisi atau jawatan yang lebih baik berdasarkan tempoh pengalaman yang mereka peroleh. Dalam hal ini, posisi yang dipohon juga akan mempengaruhi kadar gaji yang diterima. Seterusnya, sebagai seorang pekerja, mereka akan lebih memerlukan tenaga fizikal berbanding mental berbeza dengan pelajar yang perlu belajar walaupun masih perlu memikirkan sumber pendapatan mereka. Namun, setiap pekerja perlu ada komitmen sendiri yang perlu dijaga agar tidak menganggu prestasi kerja dan bayaran gaji bulanan mereka. Lebih-lebih lagi apabila mereka sudah pun mempunyai matlamat yang jelas iaitu untuk mendapatkan wang
Mengejar Kerjaya yang Diminati
Hal ini berbeza dengan pelajar yang perlu ada mental yang kuat dalam mengejar cita-cita yang masih tidak jelas. Motivasi seorang pekerja untuk terus bekerja sudah pasti adalah untuk mendapatkan wang, namun apakah motivasi pelajar untuk mereka terus maju ke hadapan? Dalam hal ini, adalah penting bagi pelajar memilih bidang yang diminati agar menjadi pendorong untuk meneruskan perjuangan mereka ke menara gading.
Terdapat banyak kelebihan menyambung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi. Antaranya adalah pelajar dapat meneroka bidang yang mereka minati dengan lebih mendalam. Dengan ini, mereka bukan sahaja faham tentang selok belok sesuatu bidang itu malah dapat meningkatkan kemahiran dan pengetahuan yang lebih spesifik. Di samping itu, di universiti mereka dikelilingi dengan masayarakat yang menyokong bahawa ilmu adalah tangga sesuatu kejayaan. Perkara ini bukan sahaja dapat memotivasikan mereka malah dapat memberi ruang untuk mereka memikirkan hala tuju hidup yang lebih jelas dengan adanya nasihat dari orang sekeliling.
Jika ditinjau daripada aspek pekerjaan pula, mereka mempunyai peluang yang lebih cerah untuk mendapatkan jawatan yang lebih baik dan kadar gaji yang lebih tinggi tanpa memerluakan pengalaman bekerja. Di Malaysia, seseorang yang memperolehi ijazah sarjana muda akan dibayar dengan permulaan gaji RM 2,000 ke atas berbeza dengan pelajar yang tiada kelulusan. Selain itu, kebanyakkan graduan sudah dilatih kemahiran membina hubungan sosial yang baik antara rakan sekerja. Hal ini, bukan sahaja dapat membantu mereka dalam membina persekitaran kerja yang sihat malah dapat membawa kepada ‘kepuasan hidup’ yang mereka idamkan.
Penutup
Walaubagaimana pun, kebahagian dan kejayaan seseorang tidak dapat diukur hanya berdasarkan kepuasan hidup atau sumber kewangan yang baik. Setiap individu mempunyai prinsip dan matlamat yang mereka kecapi. Tegasnya disini adalah segala pilihan yang dilakukan mempunyai kebaikan dan keburukannya. Namun, setiap cita-cita yang diingini pasti ada pengorbanan yang perlu dilakukan.