Kemahiran yang Penting dalam Kerjaya Sistem Maklumat & Pentadbiran
Apa itu ‘Sistem maklumat & pentadbiran?’
Sistem maklumat merupakan satu perisian yang bertujuan memudahkan proses menganalisis dan menyusun atur data-data yang mentah bagi menghasilkan maklumat yang berguna dalam sesuatu organisasi. Secara umumnya, kerjaya yang melibatkan pengurusan sistem maklumat seperti pegawai pentadbiran, pengurus projek, pengatucara dan pereka web perlu mempunyai pengetahuan dalam mengendalikan program komputer, pangkalan data dan rangkaian. Sesebuah organisasi sering bekerja dengan jumlah data yang besar, maka adalah penting bagi setiap organisasi itu mempunyai individu-individu yang mengendali data-data bagi memperolehi pilihan penyelesaian masalah yang lebih ideal dan sistematik.

Contoh Kerjaya dan skop kerja.
Walaubagaimana pun, terdapat perbezaan dengan bidang teknologi maklumat dan sains komputer kerana fokusnya adalah dari segi pengurusan dan pentadbiran syarikat atau organisasi menggunakan sistem maklumat yang sedia ada. Antara contoh posisi dan tugas yang dipertanggunggjawabkan, pertama penganalisis perniagaan iaitu menganalisis data bagi memperbaiki kecekapan dan peningkatan prestasi organisasi secara berkala; kedua, pentadbir pangkalan data iaitu mewujudkan dan mengekalkan pangkalan data organisasi; ketiga, penganalisis keselamatan maklumat iaitu memantau dan melindungi rangkaian dan sistem komputer. Dengan ini, setiap individu itu penting untuk mengasah beberapa kemahiran diri bagi melayakkannya memegang posisi yang berkenaan.
Kemahiran Diri yang Penting
1. Mengenalpasti masalah
Kemahiran menyelesaikan masalah membantu dalam menentukan punca masalah dan mencari penyelesaian yang berkesan. Terdapat beberapa cara untuk memperbaiki kemahiran ini salah satunya ialah dengan meletakkan dan membiasakan diri dalam situasi baru supaya diri terdedah kepada peluang untuk menyelesaikan masalah yang lebih luas. Selain itu, membaca buku-buku tentang penyelesaian masalah secara professional juga dapat meningkatkan pengetahuan yang berkaitan, lebih-lebih lagi jika disokong dengan simulasi sesuatu situasi itu. Terdapat juga beberapa kemahiran lain yang mampu memupuk keupayaan menyelesaikan masalah ini, antaranya ialah penyelidikan, kreativiti, komunikasi, kerja berkumpulan dan mendengar dengan baik.
2. Menganalisis
Kemahiran menganalisis merupakan kebolehan mengumpul dan menganalisis maklumat; menyelesaikan masalah dan membuat keputusan. Kemahiran ini sering digunakan semasa melakukan pemerhatian, tafsiran data dan dalam menyumbangkan idea. Di samping itu, pandangan yang kreatif juga adalah perlu dalam meneliti corak data yang sukar dinilai. Dalam hal ini, pemikiran yang kritikal adalah penting bagi mencari pilihan penyelesaian masalah yang lebih ideal berdasarkan faktor-faktor tertentu.
3- Membentang (presentation)
Setelah memperolehi penyelesaian dari masalah, adalah penting untuk memahirkan diri dalam membentangkan masalah dan cadangan solusi kepada rakan sepasukan atau orang atasan. Sesetengah individu mengalami kesukaran dalam menyampaikan sesuatu perkara kerana kurangnya kemahiran berkomunikasi. Hal ini sebenarnya mampu diperbaiki dengan melakukan persediaan awal seperti menyediakan isi pembentangan dengan teratur, memahami konteks yang ingin disampaikan agar tidak terlalu meleret sehingga mengambil masa pendengar dan akhir sekali ialah mengasah keyakinan diri apabila berada dihadapan halayak ramai.
4- Menulis Laporan
Laporan mengandungi penerangan dan interpretasi sesuatu isu atau situasi; penilaian keputusan dan penyelesaian masalah; perbincangan tentang isu berkaitan masa akan datang dan tindakan; cadangan dan juga kesimpulan. Secara asasnya, isi-isi yang perlu ada di dalam laporan adalah daripada pembentangan yang telah dilakukan, namun di dalam laporan perlu diterangkan secara teliti dan terperinci untuk dijadikan sebagai rujukan di masa akan datang bagi sesuatu organisasi. Dalam hal ini, kaedah penulisan juga adalah penting agar maklumat mudah difahami.
Sistem maklumat dan pentadbiran bukan sekadar berkenaan hal-hal berkaitan komputer, hakikatnya kerjaya dalam bidang ini juga perlu mementingkan pengetahuan umum dalam hal-hal seperti menganalisis, mengurus, menyelesaikan masalah dan komunikasi yang baik. Selain daripada tugas yang berfokus kepada pengendalian organisasi secara sistematik, individu yang berminat untuk ceburi bidang ini turut memahami bagaimana untuk menjadikan teknologi komputer ini berguna dalam meningkatkan prestasi organisasi secara unik dan kreatif.
Rujukan
Doyle, A. (17 September 2020). What are analytical skills? The Balance Career. https://www.thebalancecareers.com/analytical-skills-list-2063729
Indeed Editorial Team. (24 November 2020). Problem-Solving skills: Definitions and Examples. Indeed. https://www.indeed.com/career-advice/resumes-cover- letters/problem-solving-skills
UAB Collat. (t.t). What is information systems? https://businessdegrees.uab.edu/blog/what-is-information-systems/