Pendidikan Awal Kanak- Kanak
Terdapat banyak perbezaan dari segi perkembangan kanak-kanak dahulu dan kini. Hal ini bersangkutan dengan keadaan ekonomi sekarang dimana adalah perlu ibu dan bapa keluar mencari rezeki bagi menampung pembelanjaan keluarga. Oleh itu, tugasan mendidik dan membimbing anak sudah menjadi sukar untuk mereka laksanakan dengan sempurna. Walaubagaimana pun, solusi masalah ini telah pun disediakan iaitu dengan menghantar anak ke taska, tadika atau pusat penjagaan kanak-kanak yang kini semakin banyak ditubuhkan sama ada di bawah perbadanan swasta atau kerajaan. Dalam pada itu, timbul pula isu lain berkaitan sistem pendidikan awal kanak-kanak ini dan yang sering didengari adalah masalah penderaan kanak-kanak oleh penjaga yang dibayar.
Tempoh usia awal kanak-kanak adalah dari lahir sehingga umur 8 tahun. Pendidikan awal kanak-kanak pula merujuk kepada program asuhan dan bimbingan kanak-kanak dalam tempoh tersebut. Program ini telah bermula pada tahun 80an di Malaysia di bawah Akta Taman Asuhan Kanak-Kanak (AKTA TASKA 1984). Sesebuah Taska yang ingin ditubuhkan atau pengasuh Taska perlu mengikuti Kursus Asas Asuhan Kanak-kanak (KAAK). Perkara ini adalah bagi memberi pencerahan tentang pengetahuan dan kemahiran mengasuh kanak-kanak dengan betul dan sebagai satu langkah mengelakkan kejadian yang tidak diingini berlaku. Namun, perkara yang ditakuti ini masih banyak terjadi dari hari ke hari.
Jika syarat ini adalah untuk menghindari pengasuh dari berlaku tidak baik terhadap kanak-kanak, mengapa kes penderaan oleh pengasuh masih berlaku? Hal ini menunjukkan pendidikan awal kanak-kanak ini adalah sesuatu bidang yang rumit. Pihak bertanggujawab perlu menitik beratkan juga latar belakang pendidikan, keluarga dan mungkin keadaan mental calon pengasuh memandangkan rata-rata punca kes penderaan di Taska adalah berkenaan tiga perkara ini. Bersangkutan itu, terdapat beberapa perbadanan yang menubuhkan taska ini sudah mula meletakkan syarat yang lebih tinggi untuk seseorang itu menjadi pengasuh yang diiktiraf.
Kursus pendidikan awal kanak-kanak ini sebenarnya tidak asing lagi dalam kalangan pelajar lepasan SPM. Kebanyakkan universiti juga membuka peluang kepada anak muda untuk menceburi bidang pendidikan lebih-lebih lagi program asuhan kanak-kanak ini. Seperti yang telah diutarakan sebelum ini, ibubapa kini semakin sibuk dan tidak mampu memberikan perhatian sepenuhnya terhadap anak. Oleh itu, mereka terpaksa menghantar anak mereka ke pusat asuhan supaya anak-anak tidak ketinggalan dalam pelbagai aspek pendidikan.
Dengan ini, semakin banyak permintaan pekerjaan dalam bidang pengasuhan kanak-kanak kini. Pelajar yang mengambil bidang pendidikan awal kanak-kanak juga tidak perlu gusar memikirkan peluang pekerjaan akan datang. Merujuk kepada isu penderaan yang telah dibincangkan, terdapat pusat asuhan yang sudah mula meletakkan syarat calon pengasuh yang lebih tinggi seperti memerlukan sekurang-kurangnya Diploma dalam bidang berkaitan. Pelajar lepasan diploma bidang ini akan lebih diutamakan memandangkan mereka telah pun didedahkan pengetahuan dan kemahiran seperti mengendali emosi dan mental dengan baik kerana penting untuk calon pengasuh memaparkan sisi yang positif kepada kanak-kanak supaya minda mereka dapat berkembang dengan sihat.